Ibu tahu Zaril gay
Tidak menolak untuk mengahwini perempuan jika sudah ditakdirkan.
‘MENYESAL? Tidaklah. Malah saya gembira kerana orang di sekeliling sentiasa membantu dan menyokong saya.”
Itu dialog ‘berani mati’ seorang pemuda mengenai kehidupan ‘bahagia’nya yang menjalinkan hubungan cinta sesama lelaki.
Kedengaran seperti dia menghalalkan hubungan sejenis yang terang-terangan melanggar hukum alam dan agama itu.
Menurut pemuda berusia 25 tahun yang hanya ingin dikenali dengan nama Zaril (bukan nama sebenar), perilaku golongan homoseksual memang sering dipandang serong oleh masyarakat.
Namun, Zaril menegaskan, dia sudah malas untuk ambil peduli.
“Pada saya, setiap kali orang mengajukan soalan mengenai kecenderungan seks, saya akan bertanya semula pada orang itu, ‘Adakah anda memilih untuk jadi normal? Itu sahaja yang anda perlu tahu, semudah itu’,” tuturnya yang mula menyedari tentang kecenderungan homoseksualnya pada usia 12 tahun lagi.
Berhijrah ke negara lain
Tambahnya, manusia sendiri tidak pernah memilih untuk menjadi tinggi atau rendah, mempunyai mata coklat atau biru, begitu juga heteroseksual mahupun homoseksual.
“Kami tidak memilih untuk hidup sebegini pada awalnya. Tidakkah anda fikir adalah lebih mudah jika semua lelaki adalah lurus? Kami tak perlu nak menipu, berselindung ataupun berpura-pura semata-mata untuk menghindar pandangan jelek daripada semua orang.
“Sememangnya ia sesuatu yang sangat pelik dan menjengkelkan, tapi adakah semuanya akan berakhir dengan baik jika kami yang ‘tidak lurus’ ini berpura-pura jadi lelaki yang suci dan berkahwin dengan perempuan yang baik? Semestinya tidak, bukan?” soalnya.
Ketika diajukan pertanyaan tentang aktiviti sosial sesama mereka, dia mengatakan mereka juga seperti orang lain yang sering menghabiskan masa melepak di pusat beli-belah, kelab malam dan juga kafe terkenal.
“Malah kami turut bersukan. Selalunya kami bermain futsal dan menghabiskan masa di situ.
“Tapi itu juga terpulang pada diri masing-masing. Macam saya, saya lebih suka membeli-belah dan lepak di kopitiam kerana kurang mendedahkan diri pada kumpulan gay yang lain,” ujarnya.
Disebabkan kekangan agama dan budaya, Malaysia menurut Zaril, tidak seperti sesetengah negara lain yang menerima golongan gay secara terbuka.
Namun, golongan gay Melayu pastinya mempunyai alternatif sendiri untuk terus mengembangkan hubungan tanpa sempadan.
“Saya selalu terfikir untuk berhijrah ke negara lain seperti Thailand atau Amerika Syarikat. Tapi pengalaman masa silam banyak mengajar saya.
“Pada saya, ke mana sahaja kami pergi, golongan seperti kami ini pasti tidak akan disenangi kerana kecenderungan terhadap kaum sejenis.
“Justeru bagi saya, melarikan diri bukan penyelesaian terbaik. Sememangnya berkahwin adalah impian kami.
“Tapi kami juga tidak menolak untuk mempunyai isteri sebagai teman hidup jika hati kami dibukakan suatu hari nanti. Tapi sekali lagi ia terpulang pada diri masing-masing,” ungkapnya.
Setia pada pasangan
Ada yang mengatakan pasangan homoseksual lebih penyayang dan mengambil berat tentang diri masing-masing berbanding pasangan biasa. Tidak kurang juga yang mengatakan pasangan itu turut gemar bertukar-tukar pasangan.
Bagi Zaril, dia merupakan seorang yang setia pada pasangannya dan menurutnya, pendapat yang mengatakan pasangan gay lebih bersikap penyayang mungkin ada benar dan mungkin ada silapnya.
“Saya tak suka bertukar-tukar pasangan. Siapa suka? Berbalik pada isu yang sama, kami juga seperti pasangan normal yang lain. Sesetengahnya mungkin sangat penyayang. Sesetengahnya pula adalah tipikal.
“Bezanya cuma kami bercinta dengan lelaki. Itu sahaja,” tuturnya yang pernah menjalin hubungan dengan seorang jejaka dari Sarawak.
Hubungan tersebut bagaimanapun hanya mampu bertahan selama setahun kerana wujudnya orang ketiga. Justeru kini, setelah kecewa dengan hubungan tersebut, Zaril mengambil keputusan untuk menyendiri.
“Buat masa ini, saya ambil keputusan untuk tidak bersama sesiapa dan ingin menumpukan perhatian terhadap pelajaran saya sahaja,” luahnya.
Pernah ditunangkan
Zaril dalam pada itu mengandaikan ibu bapanya turut mengetahui tentang gejala yang dihadapinya itu.
Namun, dia sendiri tidak pernah berterus terang dengan mereka kerana bimbang respons yang bakal diterima daripada mereka nanti.
“Saya rasa ibu bapa saya tahu tentang semua ini. Tapi mereka diamkan sahaja. Harapan saya agar mereka dapat menerima diri saya seadanya dan memahami situasi saya ini,” ucapnya.
Tanpa berselindung, Zaril turut mengakui dia pernah ditunangkan dengan seorang gadis pada usia 21 tahun kerana mengikut kehendak ibu bapanya.
“Namun, pertunangan yang hanya bertahan selama enam bulan itu terpaksa diputuskan atas sebab-sebab tertentu,” ujarnya.
Mengakui pernah menjalinkan hubungan normal dengan seorang gadis, namun kata Zaril, hubungan tersebut telah putus di tengah jalan.
“Tentang gadis itu, saya tak nak komen banyak. Mungkin setelah mencuba akhirnya saya dapati diri saya lebih menjurus untuk bersama kaum sejenis saya.
“Lagipun pada masa itu, tujuan saya ada teman wanita hanya untuk cover line yang saya ini gay depan rakan sekuliah. Sebenarnya saya memang langsung tak ada perasaan (cinta) dengan dia,” ujar pelajar jurusan undang-undang itu.
“Jujur, golongan seperti kami juga tak pernah terfikir untuk berubah. Sebab bagi kami, jika suatu hari nanti dengan izin Tuhan kami boleh berubah, kami terima.
“Kami sendiri pun tak tahu sampai bila kami akan jadi gay. Mungkin sampai kami dah tak minat pada lelaki,” akhirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan